16 Febuari - Aku telah merentasi sempadan kawasan ayah aku, lintas saja jalan ini aku akan bebas dari cita-cita dan gengaman ayah aku yang mahu aku menjadi kucing jantan yang mengetuai kawasan dia. Aku tidak mahu! Aku malas hendak bergaduh dengan kucing lain belakang rumah orang lain dengan membuat bunyi-bunyi berdehem yang aneh. Aku tidak mahu mengejar kucing betina yang lain dan memaksa mereka untuk membiak di celah longkang demi menunjukan kekuasaan aku. Itu bukan impian aku, Aku tidak mahu hidup yang dipenuhi kekosongan, cita-cita aku adalah untuk tinggal dalam rumah manusia diberi makan sedap dan tidur di atas sofa yang empuk. Aku mahu berbaring di lantai marmar yang sejuk dan dihujani angin kipas.. Aku tidak mahu dibelenggu idea kolot ayah aku..... Aku mahu bulu yang cantik.
17 Febuari - Masih belum ada orang nak culik aku dan bawa pulang ke rumah dia. Mungkin sebab aku dah besar kot.
26 Febuari - Genap sepuluh hari aku meninggalkan keluarga aku, namun aku masih gagal dalam cita-cita aku, alangkah malunya aku nak pulang ke rumah. Kini aku lapar, penat nak kena kejar binatang lain, kalau dekat rumah dulu kami mudah mendapat makanan dengan membongkar tong sampah.
1 Mac - Aku tiba di satu kawasan bangunan yang berhampiran sempadan kawasan ayah aku. Situ ada punca makanan yang mana sekali setiap hari ada seorang perempuan manusia akan letak makanan sedap dalam mangkuk. Aku mengambil keputusan untuk bermastautin di sini.
3 Mac - Perempuan Manusia itu dah biasa dengan kehadiran aku dan mula memanggil aku bobo. Apa punya nama tu, walaupun aku seekor kucing namun aku faham bahasa manusia. Ini adalah kerana aku berdarah kerabat diraja kucing hulu kelang, nama sebenar aku ialah Tengku Ritaudeen Robertson III. Datuk aku ialah raja segala kucing jajahan hulu kelang dan ayah aku adalah penghulu kawasan tenggara yang mana sempadan kawasan dia besar melangkau jauh dari loji tahi wangsa melawati sampailah ke pokok ke 896 hujung jalan besar sebelah paip air Taman Melawati. Aku walaupun bengan diberi nama yang begitu mangkuk oleh manusia ini namun aku terpaksa sabar dan buat muka comel kerana dia adalah punca makanan aku, aku tak rela makan tikus lagi.
5 Mac - Aku belajar beberapa perkara sejak tinggal di sini, perempuan manusia yang memberi aku makanan setiap hari dipanggil kak N. Kak N suka cakap "meow" dengan aku. Apa maksud meow tu pun aku tak tahu, jadi pada mulanya aku buat tak tahu je. Tapi dia macam meradang sikit sebab aku tak layan dia. Jadi sejak semalam aku pun jawab balik dengan kata meow, apa meow tu pun aku tak tahu, kenapa laa diorang ni suka sangat meow?
9 Mac - Semakin ramai manusia yang singgah dekat tempat makan aku datang pegang-pegang kepala aku dan cakap meow. Mungkin meow itu adalah ucapan selamat pagi atau apa khabar kot dalam bahasa manusia, tapi yang pasti aku tak pernah belajar perkataan manusia baru ini. Aku pun meow balik, kadang-kadang kalau nasib aku baik manusia lain akan bagi aku makanan jenis lain selain yang Kak N bagi aku.
11 Mac - Aku jumpa satu kawasan lantai sejuk dekat tepi bangunan ini, tempat yang sesuai untuk aku baring dan sejukkan perut aku atas lantai ini. Ahhhhh........ Nikmat.
22 Mac - Kak N marah-marah aku sebab dia kata aku berak atas kereta tuan dia, dia ni pun satu apahal la pulak marah-marah aku, bukanya aku tahu yang tu kereta tuan dia, aku ni kan kucing, kereta tu pun aku tak tau untuk apa sebenarnya. Jadi dia marah-marah aku aku diam dan tengok je muka dia, lepas tu aku Meow kat dia, dia pun pegang kepala aku lepas tu bagi aku makanan. Rupanya meow tu pun boleh bermaksud minta maaf kot.....
2 April - Pagi tadi aku terserempak dengan seekor kucing putih gemuk berceloreng kelabu dekat sekitar kawasan aku. Aku pun tenung dia dan dia tenung aku, aku tak puas hati jadi aku marah dia dan tunjuk taring aku dan dengan kurang hajarnya dia pun marah aku balik dan tunjuk taring dia. Aku malas nak gaduh dengan dia jadi aku pun cuba nak belah ikut kanan, dia halang aku dengan ikut arah sama. nampaknya kucing ni memang nak cari pasal dengan aku, dahlah hodoh jahat pulak tu cis menyampahnya aku! Aku ke kiri pun dia ikut sama. Mana aku toleh situ dia toleh, ni apahla kucing ni, bila aku tengok betul-betul rupanya kucing tu ialah aku. Aku tengok cermin rupanya, ye lah kucing mana la tau apa tu cermin, inilah kali pertama aku tengok cermin, sebelum ni aku cuma dengar cerita je. Namun aku hampa kerana selama ini aku sangkakan aku adalah kucing parsi berbulu lebat warna kelabu yang comel. Patutlah takde orang culik aku bawak balik rumah.
7 April - Lepas kasi aku makan kak N duduk sebelah aku dan pegang-pegang aku, dia cakap dia sedih sebab dia ada terdengar yang makcik piah (sapa tu?) mengumpat pasal dia sebab dia pakai mekap tebal. Aku tak tahu apa tu mekap jadi aku pun meow je.
18 April - Petang tadi aku nak pergi berak dekat pokok depan sana tapi hujan lebat. Mula-mula aku tak berapa peduli pasal hujan jadi aku pun jalan je tapi bila kena air baru aku ingat yang kucing ni tak suka air. Jadi aku berak dekat selipar kak N.
1 Mei - Hari ini Kak N tak bagi aku makanan, dia tak datang hari ni, cuti kot. Eh cuti tu apa?
5 Mei - Tadi aku nampak Farid (kucing yang tinggal dekat bangunan seberang sana) bau taik dia sendiri, isk buruk sungguh perangai dia, sungguh kucing kekampungan.
16 Mei - Aku perasan sekali sehari mesti ada sekumpulan manusia duduk dekat depan bangunan aku dan makan asap. Diorang suka borak pasal macam-macam benda, ada cakap pasal bola la, gelak-gelak la dan kalau ada manusia perempuan lalu diorang semua tiba-tiba terdiam dan perhati. Terutama kalau perempuan dari pintu sebelah sana tu lalu, aku selalu dengar diroang kata "ooh hari ni dia pakai jaket merah.." tak pun "Eh tu bukan seluar semalam ke?". Aneh betul diorang ni, aku ingat diorang ni jin kot... makan asap ah, sedap ke?
bersambung.....
The King, his family and U
2 weeks ago
3 comments:
hahha siot kucing. anda telah mengubah persepsi saya dan seluruh umat manusia bahawa kucing itu comel,lucu dan lugu. daym.
M
...meowwwwwwwww
meowww......encik kucing bobo (perghh hafal name timangan die) tlg update diari anda ye..sgt2 klaka la pulak..ni diari ni sape taipkan?lol
Post a Comment