Sinatra_Z - Kopiah Doa

Dalam bilik tingkat 4 kolej perdana di bawah sinaran lampu kalimantang putih, duduk saya mengadap dua orang rakan saya yang mempunyai markah CGPA yang jauh lebih baik daripada saya dalam alam pembelajaran Universiti. Berhempas pulas mereka cuba meyakinkan saya, pelajar yang mempunyai CGPA yang lebih rendah, yang masih enggan dan menutup mindanya dari melihat peluang yang baru dan lebih cerah. Barangkali dalam minda mereka inilah cabaran para nabi dan rasul zaman dahulu kala dalam meyakinkan ummat mereka dalam menerima ajaran wahyu.

"Zaidel, aku ni bukan apa la, takkan sampai bila kita nak makan gaji bila dah grad nanti. Aku bukan nak cakap apa tapi aku kenal abang yang mulakan perniagaan ni. Dia tu memang nak tolong kita, lepas tu kaedah dan perniagaan ni berasaskan aku tolong kau dan kau tolong aku, jihad ekonomi.''

Berpandukan kesaksian kedua-dua rakan saya mengenai kebaikan abang itu dan diikuti dengan beberapa potong ayat yang disulami dengan perkataan-perkataan arab dan hadis mereka berharap bahawa akhirnya minda dan hati saya akan terbuka dalam jihad ekonomi ini.

"Niat aku mudah je, aku nak tolong ibu bapa aku, supaya diorang tak perlu nak dibebankan dengan nak tanggung aku dekat Uni ni. Kemudian, insyallah, kalau rezeki murah mungkin kau boleh bayar balik PTPTN. Kau PTPTN kan?"

Lupa yang hamba ini menggunakan pinjaman PTPTN, tidak mendapat biasiswa JPA mahupun Petronas, tak seperti rakan. Pelik jugak kan saya ni Melayu, kalau nak diikutkan propaganda politik orang melayu kan semuanya ditaja, almaklumlah kita kan warganegara kelas pertama.

Barangkali kerana sudah penat mendengar atau tidak tahan nak tergelak maka minda jahiliyah ini tergerak untuk menzahirkan pendapat mengenai sistem perniagaan ala-ala islam yang diperkenalkan ini.

''Ok, korang kata sistem ni islamik la abang tu baiklah ni bukan piramid lah, kau suruh aku beli ubat cap apa ntah dengan harga yang jauh lebih tinggi lepas ikut sistem. Macam ni lah, aku ada satu cadangan yang jauh lebih baik. Itu pun kalau korang setuju dengar lah."

''Ok kami terbuka untuk dengar pendapat.''

"Baik, daripada korang masuk dalam perlaburan macam ni baik korang melabur dengan aku. Kalau korang melabur dengan aku, korang akan jadi pengasas jadi untung tu!"

Berikut adalah skim perniagaan yang saya cadangkan

Produk adalah Satu Kopiah Putih yang dipanggil Kopiah Doa. Yang mana kononya kopiah ini diperbuat dari benang khas yang mana setian utas telah dibacakan doa melincirkan belajar sesuai untuk Pelajar Islam yang sedang menuntut.

Kopiah dibeli dari Masjid Jamek dalam lingkungan harga RM 10 dan dijual dalam skim ini dengan harga RM 55 kerana setiap kopiah telah didoakan.

Dengan pakej RM 99 Selain kopiah Doa akan juga diberi Tasbih iman, Buku Nota Ulamak dan lain-lain lagi alat tulis yang membantu pembelajaran.

Kemudia jika membayar yuran tambahan sebanyak RM 48 maka layak menjadi ahli. Seterusnya ahli akan mencari dua pasang ahli lagi dan mendapat bonus.

Cukup pasangan ahli sebanyak 7 peringkat maka ahli akan mendapat pulangan samada dapat membayar sebahagian dari hutang PTPTN ataupun membeli kereta mercedes "second hand" yang boleh dibuat posing semasa ambil gambar.

Ini bukan sistem piramid, kerana ianya tidak berlandaskan satu kepada, akan tetapi 3 kepada (kami bertiga) maka ianya lebih kepada sistem trapezeum yang jauh lebih islamik. Setiap transaksi digalakkan untuk membaca bismillah, mengucapkan alhamdulillah moga ianya nampak lebih islamik dan halal.

Kawan saya yang ketika itu nampak marah mula mempersoalkan niat keikhlasan saya. Maka dengan tenang saya menjawab

"Kenapa marah sangat? Bukan kaedah perniagaan aku ni sama je ke dengan apa yang abang tu? Kurang-kurang aku punya lagi bagus, murah sikit modal permulaan."

"tapi kau nampak macam nak mainkan kitorang!''

"Ah ye lah, habis tu apa beza aku dengan abang tu?"

"Dia tu lain!"

"Yang cuma membezakan antara dia dengan aku ialah, aku korang nampak macam yahudi mabuk tapi dia korang nampak macam alim. Walhal, niat dan tujuan kitorang sama"

Berilmu belum tentu pandai, pandai belum tentu cerdik, cerdik belum tentu bijaksana.

Catatan seekor lipas, tidaklah sehebat pengembaraan seorang wirawan mahupun cedekiawan, namun sekali sekala terserempak dengan adengan-adengan yang cukup menarik.

1 comments:

very well done article! I really relates to my days. With the right word, the right people, the right hand gesture, some brochures, you can almost sell anything.