Sinatra_Z - Aspirasi Orang Muda

Terdetik untuk menulis perkara ini ketika dalam perdebatan mengenai tunjuk perasaan yang diadakan oleh Perkasa di hadapan bangunan MCA beberapa hari yang lepas. Ianya bermula apabila salah seorang warga BBM dalam ruangan Pemidato Pemuda BN mengiklankan rapat umum berkenaan dan mendapat bantahan dari saya kerana sah-sah dalam kumpulan kami terdapat pemuda MCA.

Sebab dan musabab bantahan serta isi perdebatan saya itu tidak penting, apa yang ingin saya ketengahkan ialah sepotong kenyataan yang diluahkan olehnya yang berbunyi lebih kurang begini -

"Kita mesti berani, demo dan tunjuk yang kita tidak bersetuju, ini bukan lagi zaman dahulu sekarang kita kena berani, lantang bersuara menegakkan yang hak dan pendapat. Aspirasi orang muda tak mahu lagi tengok kita pasif dan berdiam diri."

Kenyataan di atas diluahkan dalam mempertahankan keperluan untuk mengadakan demonstrasi berkenaan dan pada masa yang sama sebagai alasan dalam mengwarwarkan rapat umum berkenaan.

Ini membuatkan saya terfikir, adakah benar pernyataan di atas? Kerana seringkali saya dengar orang menyebut begitu.

Saya tidak terkejut dengan kenyataan berkenaan kerana kebanyakan orang membuat kesimpulan berkenaan berdasarkan apa yang dilihat pada parti pembangkang terutamanya rapat umum anjuran Parti Keadilan Rakyat. Anwar Ibrahim dan orang-orang kanannya yang cukup terkenal dengan keupayaan untuk mengumpulkan anak-anak muda untuk pergi ke jalanan. Dengan suara laungan Reformasi, gegak gempita bantahan anak-anak muda di sekeliling jalan raja laut, masjid jamek dan jalan masjid india cukup membakar semangat, saya sendiri pernah meyaksikan depan mata saya keupayaan mereka dalam membuat perkara sedemikian.

Namunmelihat kedatangan pada rapat umum yang dianjurkan di hadapan pejabat MCA, yang mana jumlahnya sangat kecil dan kebanyakan yang hadir tidaklah boleh disenaraikan sebagai anak-anak muda.

Boleh dikatakan tidak seperti tahun 1998 dan 2008 rapat umum dan tunjuk perasaan ini tidak dapat menyentuh dengan jiwa dan nurani orang muda. Boleh dikatakan tunjuk perasaan itu adalah lebih kepada aspirasi orang yang telah berumur yang mempunyai mimpi serta tujuan tertentu. Walaupun ada kebenaran dalam pernyataan ini namun kesimpulanya tidaklah semudah itu.

Kita kembali kepada beberapa bulan sebelumnya apabila video tayangan seks Anwar Ibrahim mula muncul di Carcossa Seri Negara. Ketua Angkatan Muda Keadilan saudara Shamsul Iskandar menganjurkan demonstrasi di hadapan bangunan Risda bagi membantah penglibatan Rahim Thamby Chik dalam isu berkenaan. Namun, seperti demo anjuran Perkasa kedatanganya adalah hambar dibandingkan dengan sebelum ini.

Pada masa yang sama, kedatangan berpuluh ribu anak muda membanjiri PWTC menghadiri Pesta Kerja Pemuda BN (BN Youth Job Fair) yang dianjurkan pada tarikh dan masa yang sama dengan demo berkenaan. Dari situ dapat kita lihat perbezaan yang amat nyata.

Memang naluri anak muda itu mirip kepada memberontak, namun pada zaman dan era ini kurangnya pemangkin dalam masyarakat untuk menyalakan api pemberontakan ini. Barangkali kerana sudah bosan dengan drama politik yang tak habis-habis dimainkan, pemuda pemudi sudah mula lesu dengan politik dan pada pandangan mereka politik sebergini tidak membawa apa-apa faedah pada diri.

Contoh, bagaimana pemuda pemudi ingin bersemangat dalam sesuatu isu yang melibatkan orang ketiga atau ahli politik tertentu apabila pada masa yang sama dia sendiri mempunyai banyak lagi perkara yang perlu difikirkan. Pemegang Ijazah yang baru keluar Universiti biasanya akan membawa hutang PTPTN yang bernilai puluhan ribu mempunyai agenda yang lebih besar dalam mindanya. Itu belum termasuk dari pinjaman kereta, pembelian rumah, dana perkahwinan dan macam-macam lagi.

Kemudian anak-anak muda, terutama kebelakangan ini, jauh lebih tertarik kepada perkara-perkara yang melibatkan kreativiti, rekacipta, seni ataupun inovatif. Barangkali dengan zaman penembusan internet yang tinggi dan penemuan pelbagai teknologi kreatif serta jaringan maklumat yang meluas dan pantas, mudah untuk orang berkongsi hasil kerja mereka di youtube, facebook dan blog.

Kita lihat kelahiran penyanyi dan penggiat seni berbakat yang bermula dengan inisiatif sendiri seperti Zee Avi, Yuna, Ana Raffali, Meet Uncle Hussain dan pelbagai lagi. Zaman indie adalah takrifan zaman kenaikan penggiat seni yang bermula dengan inisatif sendiri (indipendent). Lahirnya kerja-kerja kreatif dan inovasi seperti karya Upin dan Ipin dari Les Copaque, Usahawan-usawahan muda seperti SM Nasarudin dan Jason Lo serta percambahan besar golongan ahli teknokrat (technocrats) yang berkerja di syarikat-syarikat berasaskan teknologi dan kejuruteraan seperti Intel, AMD, Dell, Shell, Petronas, HP dan lain-lain.

Malah jika dikaitkan kembali program Perkasa yang mendapat sambutan paling hangat di kalangan anak-anak muda adalah Himpunan Wira Perkasa anjuran Armand Azha dan rakan-rakan (mantan ketua wira perkasa). Dalam rapat umum anjuran itu, tiada pembakar semangat bantahan mahupun tunjuk perasaan diadakan. Akan tetapi lebih kepada penggiat seni yang terpinggir diberi peluang untuk menunjukan hasil mereka, mat-mat rempit yang meminati motor cuba untuk menghasilkan sesuatu yang baik dari minat mereka, golongan peminat-peminat kereta, ushawan-ushawan muda yang bermodal kecil dan macam-macam lagi.

Setiap zaman anak-anak mudanya mempunyai aspirasi tersendiri, memang ada yang menyatakan sejarah itu berulang dan seperti roda, apa yang berlaku pada tahun 60an boleh diulangi pada masa hadapan. Namun secara peribadi saya berpendapat zaman ini adalah zaman penciptaan, zaman invoasi dan kreativiti dan waktu yang mana anak-anak muda lebih tertarik kepada sesuatu yang membina lebih dari yang merosakkan. Jauh sekali kita lihat idola pada zaman ini langung tidak seperti tahun 70an yang mana motto hiburan adalah "Sex, Drugs and Rock & Roll"

Barangkali sudah tiba masa, aspirasi anak-anak muda tidak dipimpin dan ditentukan oleh pemimpin lama yang mana takrifan aspirasi anak-anak muda adalah berdasarkan pemikiran mereka sewaktu zaman 70an.

Jom kita lihat, pemimpin muda mana yang akan mengambil tampuk berkenaan?


1 comments:

Nice article bro. Kami warga muda yg dahagakan ilmu serta technology. Harap ada pembaharuan dlm politic Malaysia. :)