(Unedited, as raw as it gets)
Kalau nak kata jahat atau nakal langsung tidaklah. Bukanlah nak kata saya ni alim atau tok imam sebagainya tapi nak kata buat benda tak elok tu seingat saya takdelah.
Nak kata saya ni AJK masjid tidaklah, tapi saya cubalah tak tinggal sembahyang lima waktu. Kadang-kadang terlepas tu biasalah, qadha lah kita. Tapi kalau nak diikutkan saya tak minum saya tak main perempuan saya tak menipu duit orang atau buat anaiya kat orang kiranya tidak langsunglah.
Zaman muda-muda dulu nak kata nakal sikit-sikit tu adalah tapi nak kata liar memang jauh sungguh lah. Ye lah masa tu nak kata bercinta pun takdelah meriah mana pun. Orang tua saya orang kampung biasa dekat mersing, bapak saya pencen sarjan polis mak saya pulak suri rumah, habis sekolah dapat belajar masuk ITM buat akaun, kat sana saya kenal lah bakal bini saya, ambik kursus perguruan, kenal sebab AJK asrama sama.
Biasalah, kenal-kenal, makan sama-sama lama tu bercinta la. Lama lepas dah habis belajar, bawak balik jumpa mak abah, diorang berkenan, biasalah orang kata tak baik bercinta lama maklum pun kahwinlah.
Orang kata senang kahwin cikgu ni, kerja sekerat hari, senang jaga anak, dapat macam-macam kemudahan kerajaan lagi, pinjam perumahan lah, hospital lah, macam-macam lah. Tapi bukan sebab tu la kami kahwin tapi nak ditunjukanlah waktu tu memang sesuai sangat lah kiranya memang takde sebab lah orang kata nak tak puas hati ke apa ke, kira baguslah.
Lama ye lah, dapat sorang hero lepas tu lagi sorang hero, bini teringin nak ada anak perempuan syukur dapat la pulak sorang puteri. Beli rumah, beli kereta, daftar anak pergi sekolah, hujung minggu pergi shopping, cuti sekolah balik kampung, benda-benda biasa.
Jadi nak kata saya ni sedih ke,
nak kata kecewa dengan kehidupan takdelah sangat, takdelah langsung kot. Kiranya nak kata mewah tu tidaklah tapi orang kata lengkap lah hidup tu.
Tapi entahlah,
kita ni manusia, orang kata hati ni susah sikit nak faham. Kalau ikut akal memang tak masuk akal tapi kita ni bukan robot.
Kalau dah 15 tahun, rasa macam lain sikit lah. Mungkin lah bila ditengok balik, rasa macam terlalu teratur, tenang tak pun orang kata bosan pun ada. Tak tahulah saya.
Nak guna alasan bosan dengan kehidupan tenang sebagai alasan macam tak kena lah pulak, tak sepatutnya lah tapi boleh kata salah satu sebab bolehlah kita anggap begitu.
Nak kata lawa macam 'artis' atau pelakon drama takdelah mana, jauhlah jugak tapi orangnya bergaya lah jugak. Ini bukanlah anak gadis muda mana, dia takdelah muda mana kira dekat sempadan anak dara dah lanjut sikit lah, biasanya perempuan umur dia ni dah kahwin tapi ye lah, mana lah kita tahu sebab apa kan. Muda lah dari saya tapi takdelah jauh sangat, kalau awak bayang Bung Mokhtar dengan Zizie tu memang langsung tidaklah.
Mungkin sebab bau minyak wangi ke, rambut dia perang sikit atau orangnya bawak semangat atau entahlah mungkin dia bawak benda baru dalam kehidupan saya yang dah macam berulang-ulang ni.
Nak kata saya mengorat dia tidaklah,
saya ni bukanlah macam Datuk-datuk mana yang berharta dok pasang awek muda cuma bila dia masuk mesyuarat tu kira seri lah sikit saya rasa.
Mula-mula tu memanglah kita seronok bila makan bersama tengah hari berborak pasal macam-macam tapi jauhlah saya nak fikir pasal benda-benda ni, ye lah saya ni makan gaji biasa je, pengurus takdelah pangkat besar mana langsung tak terfikir apa-apa pun.
Cuma saya rasa,
akan ada suatu detik atau waktu yang mana sesuatu berlaku yang merubah terus hala tuju kehidupan kita. Ada yang mengalami perasaan atau keadaan yang nyaris mati, ada yang melihat sesuatu kejadian atau satu tindakan drastik sebagainya, untuk saya dia mula dengan satu panggilan telefon pasal tayar pancit.
Bersambung
0 comments:
Post a Comment