Karangan Bahasa Melayu
Nama : Zaidel bin Baharuddin
Kelas : 5 Berlian
Tajuk : Bintang di langit.
pada waktu malam, mungkin kerana rasa perlukan angin segar ataupun melapangkan fikiran kita pun memandang ke atas.
Apabila memandang ke atas nampaklah bintang-bintang berkelipan dengan banyaknya sekali. Tapi kalau waktu itu bulan penuh dan terang maka susahlah, kerana cahaya silauan bulan akan mengenggelamkan kerlipan bintang-bintang. Ataupun katakanlah kita tinggal di tengah kota bercahaya yang terang benderang maka susah jugalah untuk kita melihat bintang. Ini adalah kerana cahaya lampu jalan, lampu rumah, lampu isyarat, lampu lintang stadium dan lampu neon kupu-kupu malam sedikit sebanyak mengenggelamkan cahaya bintang di langit.
Tapi kalau kita berada di kawasan gelap seperti di tengah sawah padi, di tepi laut ataupun di atas bukit yang tinggi yang mempunyai rumput yang hijau, di mana tiada di sekelilingnya tiadalah sumber cahaya buatan manusia seperti yang dinyatakan di atas, maka nampaklah kita akan bintang yang berkelipan dengan banyaknya di ruang angkasa. Jadi kalau anda pergi berkelah di Port Dickson atau di tepi Pantai Morib, cuba-cubalah untuk berjalan ke hujung pantai yang gelap dan mungkin kalau ada rezeki anda akan dapat melihat ribuan bintang berkelipan di angkasa raya diikuti dengan sahutan bunyi mergastua.
Tahukah anda walaupun kita nampak macam ianya berkelipan bersendirian, namun bintang, sebagaimana manusia bukanlah seperti apa yang dipandang dari mata kasar. Sebenarnya ada bintang di langit yang nampak seperti sebutir tapi sebenarnya berpasangan, namun kita tidak nampak dengan mata kasar kerana ianya terletak nun jauh di sana di suatu sudut Bima Sakti.
Bintang ini dipanggil bintang binari, ianya adalah sepasang bintang yang berpusing mengelilingi sesama sendiri, bagaikan merpati dua sejoli, contohnya bintang Spica yang kita lihat di langit sebenarnya adalah dua butir bintang yang berpasangan. Maka kalau nak diikutkan, bintang kita iaitu Matahari sebenarnya adalah bintang bujang yang masih lagi berseorangan belum menjumpai pasanganya.
Jadi kalau anda masih lagi bersendirian, janganlah terlalu sedih kerana ketahuilah, Mentari juga senasib dengan anda.
Adakah anda juga sedar yang cahaya, walaupun sangat laju, bukanlah selaju yang kita sering sangka. Sebenarnya, cahaya juga mempunyai had laju tersendiri, ianya tidaklah laju tidak terkira. Laju cahaya adalah 299 792 458 meter sesaat, ataupun 1 079 252 848.8 Kilometer Sejam.
Ini bermaksud, sekiranya anda berdiri sejauh Satu billion tujuh puluh sembilan juta dua ratus lima puluh dua ribu lapan ratus empat puluh lapan perluluhan lapan kilometer dari satu kebakaran, kemudian anda ternampak cahaya api, sebenarnya cahaya api kebakaran yang anda nampak itu adalah kebakaran yang berlaku satu jam lepas.
Sebagai contoh anda nampak kilat dahulu, kemudian baru kedengaran guruh, ini adalah kerana cahaya lebih laju dari bunyi.
Bayangkan ya, kedudukan antara bintang-bintang adalah begitu jauh antara satu sama lain, tersangatlah jauh menjangkaui berjuta-juta-juta-juta kilometer pun ada, ini bermaksud cahaya mengambil masa yang agak lama untuk bergerak dari satu bintang ke bintang yang lain. Maka cahaya kelipan bintang yang kita nampak pada malam ini, sebenarnya adalah cahaya yang telah lama bersinar, telah berlaku dahulu kala.
Sebagai contoh, bintang Spica tadi jaraknya dari bumi adalah sejauh 2459789922871008 Kilometer, jika dibahagi dengan kelajuan cahaya, ia bermaksud sebutir cahaya dari Spica mengambil masa sebanyak 260 tahun untuk sampai ke bumi.
Katakanlah, kita mempunyai teleskop dan berhampiran bintang Spica ada tinggalnya makhluk asing, dan kita ternampak melalui teleskop kita itu seorang makhluk asing sedang membuang air besar, dan kemudian ternampak tahi makhluk asing yang menggelikan itu, ketahuilah sebenarnya apa yang kita lihat adalah tahi yang telah dilepaskan pada 260 tahun yang lampau.
Semakin sensitif mata kita, atau kalau kita mempunyai alat yang boleh mengesan cahaya yang jauh lebih malap, atau yang boleh melihat dengan lebih jauh, maka semakin jauh ke masa lampau boleh kita lihat.
Maka apa yang kita lihat di langit adalah kejadian yang lepas, boleh dikatakan ibarat langit di waktu malam sebenarnya adalah satu buku sejarah yang maha besar, yang menceritakan kisah-kisah lampau dalam tulisan yang dinamakan cahaya. Malah kalau kita benar-benar memahami tulisan ini, dan mempunyai ilmu serta daya untuk mencari dan membacanya, mungkin kita boleh belajar tentang asal usul kita, bagaimana bumi lahir, bagaimana mentari lahir dan macam-macam lagi.
Sesungguhnya Allah telah memberikan kita suatu kitab yang amat besar yang mempunyai ilmu yang tidak terkiranya banyaknya, tidak terkira nilainya, tersembunyi di balik kegelapan cahaya malam, kitab itu namanya angkasa raya.
Alangkah baiknya kalau kita boleh membaca kitab ini bukan?
Selepas ini, saya yakin apabila anda berbaring di tepi lautan atau duduk di tengah padang melihat ribuan bintang berkelipan, anda akan pandang angkasa dengan suatu sudut yang lain. Suatu keindahan yang mungkin adalah terlalu hebat untuk minda kerdil kita ini benar-benar memahami, benar-benar menikmati dan benar-benar menilai.
2 comments:
A splendid article! You should get at least 101% marks! xD
ok, so was it darjah 5, or tingkatan 5? or 2011, pukul 5 pagi? :-)
Post a Comment