PATRIOT - MANIFESTO

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam perpaduan, terima kasih kerana sudi meluangkan beberapa minit dalam tempoh masa kehidupan anda untuk membaca penulisan ini. Sesungguhnya kami serupa dengan sebahagian besar rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kesejahteraan. Namun begitu kami akan tetap turun pada tanggal 9 Julai 2011 pada jalanan dengan berbaju merah, berarak dan berhimpun di kotaraya Kuala Lumpur dengan membawa nama Patriot.

Pastinya ada yang mempersoalkan kewajaran untuk diadakan himpunan Patriot ini terutama apabila demonstrasi jalanan bukanlah hasrat segenap golongan besar rakyat Malaysia.
Tuan-puan sekelian, memang kalau diikutkan langsung tidak mahu kami mengadakan perhimpunan ini, kami juga seperti sebahagian besar rakyat malaysia sudah bosan dengan permainan politik dan lebih rela sekiranya mereka yang dipilih, pemimpin dari segi kerajaan pusat mahupun negeri lebih menumpukan terhadap kerja, membangunkan negara. Namun suka atau tidak, dimulakan dengan September 16 satu-persatu drama politik cuba ditimbulkan tidak habis-habis. Malah sehingga masaalah peribadi juga cuba diheret dan dibawa ke jalanan, panggilan reformasi dan perjuangan yang digunakan untuk berselindung dan menyorok cita-cita dan masaalah peribadi pemimpin yang rakus.

Maka pada waktu ini, tatakala pelbagai cabaran menyusul satu lagi pentas drama cuba dibawa ke arus perdana. Diadakan himpunan yang dinamakan Bersih,konon untuk pilihanraya yang bersih dan adil. Tapi aneh, hanya diadakan himpunan ini setelah kalah berturut-turut dalam pilihanraya kecil. Kali terakhir diadakan bersih adalah tahun 2007 sebelum Pilihanraya UMUM dan tidak pernah pula dibawa masaalah pilihanraya sewaktu golongan tertentu memenangi pilihanraya kecil berturut-turut.

Sebenarnya dah terang lagi bersuluh, himpunan bersih hanyalah suatu himpunan politik yang berselindung di bawah nama demokrasi, keadilan dan kesaksamaan. Sesungguhnya ianya tidak lain tidak bukan hanyalah permainan politik sebagaimana permainan politik sewaktu september 16 dahulu, mereka perlu menimbulkan prasangka, menimbulkan kacau bilau untuk menyorokkan masaalah politik yang tidak-tidak habis membelenggu diri sendiri. Masakan pemilihan parti sendiri pun kacau bilau, apa hak untuk mengajar orang lain membuat pilihanraya, paku dulang paku serpih mengata orang dia yang lebih. Mereka mahu laba politik dari himpunan ini, sebab itu enggan diadakan di Stadium yang jauh lebih baik dan aman kerana kesannya yang tidak ketara tidak seperti di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Hari ini kami telah muak, bosan, menyampah lagi jelak melihat golongan kecil ini, golongan minoriti yang hanya kerana mereka lantang dan bising cuba untuk merampas halatuju negara. Golongan kecil ini yang turun ke jalanan untuk mendapat laba politik melalui liputan antarabangsa, golongan tak habis-habis bermain politik kerana kegagalan dalam mentabir, sudah tiba masanya untuk mereka diberitahu, dengan tegas dan lantang, bahawa masa untuk berdrama, mendesak dan menekan sudah tamat, bahawa kali ini majoriti senyap "silent majority" tidak akan berdiam lagi.

Maka kami memanggil semua untuk sama-sama turun pada tanggal 9 haribulan julai ini, mereka yang sudah muak dan jelak golongan ini yang tak habis-habis berdrama dan menyusahkan orang ramai. Menyatakan bahawa BUKAN golongan yang paling kuat berbunyi dan memekik adalah mereka yang sepatutnya menentukan paksi, Patriot mahu suarakan kehendak dan pendapat majoriti rakyat Malaysia, tunjukan bahawa kali ini, rakyat malaysia tidak akan berdiam diri lagi.

PATRIOT - Rakyat yang cintakan negara, berhimpun dan berkumpul untuk menyatakan bahawa cukuplah! Sesungguhnya kali ini, suara majoriti yang setelah sekian lama sunyi tidak akan berdiam diri lagi.

Kampung terbakar nampak asapnya, hati terbakar siapa yang tahu.

Mari kita sama-sama membawa bara merah di ibu negara pada Julai ini dan jangan benarkan golongan kecil ini merampas suara Malaysia.

0 comments: