Sinatra_Z - Angin Selatan

Teringat kisah lama malam ini,
Kisah ketika belajar di Skudai Johor Bahru dulu,
masa tu saya tinggal di sebuah asrama yang terletak di atas bukit,
Asrama yang seakan-akan "apartment" yang mempunyai 9 tingkat. Jadi malam-malam hendak pulak kalau musim hujan sayup-sayup macam sekarang ni memang dingin, kalau ada rezeki angin akan singgah sebentar ke bilik.

Bila rasa bosan atau tekanan pada satu ketika dulu,
saya akan suka singgah bilik "senpai" atau "senior" saya Lan (radzlan) dan Ijan orang kuat kelab Go Kart.

Kira dua orang ni masa tu macam pelajar terlajak laaa, tapi memang Gerek Seh bak kata orang Johor.

Sebab saya suka pergi sana ialah kerana Lan akan memutarkan radio lamanya di waktu malam kepada frekuensi radio Best 104, sensasi selatan. Radio kepunyaan dan kebanggaan warga Johor.

Setiap malam lepas pukul sembilan, Best 104 akan memainkan tanpa henti lagu-lagu keroncong jadi selalulah saya datang singgah duduk mendengar sama lagu keroncong. Memang susah nak cari orang muda yang minat keroncong ni apatah lagi yang ada rakan sebilik yang tak berapa kisah mendengar lagu zaman-zaman tok kadok.

Selalunya bila datang sama ada kami akan berborak, main permainan daun terup "Chor Dai Dee" atau hanya duduk diam melayan perasaan. Selalunya Ijan akan kata
"Eh tetamu dah datang ni, kenalah kita buat teh."

Jadi kadang-kadang saya teringat akan waktu melepak di bilik mereka berdua ini, meminum teh-O sambil mendengar lagu-lagu keroncong. Rasa macam dekat tepi pantai yang indah pun ada.

Orang selalunya bila bercerita zaman belajar teringat akan kisah terjumpa cinta sampai ke pelamin laa, ataupun aktiviti pergerakan pelajar ke tak pun waktu "berparti" liar zaman-zaman muda mudi.

Saya pulak teringat akan teh-o, keroncong dan kain pelikat.
Bosan bunyinya.... Tapi takpelah, saya ni memang orangnya bosan sedikit. Suka dengar lagu-lagu orang dah mati.

Itu yang bila dah berada di Kuala Lumpur ni,
Di tengah-tengah kotaranya, teringat pulak dekat angin selatan. Rindu pun ada. Nostalgia pun ada.

Walaupun Pantai Lido tu menyedihkan, tapi Johor Bahru tetap saya kenang.

Angin Selatan, Gerek Seh. Rindu gua dekat lu punya keroncong, lu punya angin dengan kawan-kawan gua.

Selamat Malam.....

2 comments:

Hang merujuk kepada KSDS ke?