Sinatra_Z - Al Kisah

Al Kisah....
Maka Tersebutlah Kisah....
Dua makhluk yang berasal dari tanah yang mana pasirnya terdampar di pelusuk alam,airnya sedikit dan angin malamnya dingin. Langitnya pula dipenuhi bintang-bintang bergemerlapan dan suatu masa dahulu lahirnya seorang pengutus yang agung di tanah gersang ini.

Apa kan daya dua makhluk ini, barangkali kerana takdir terdampar nun jauh dari asalnya ke suatu tempat yang pokoknya menghijau, dicelahi liku-liku jalanraya, rumah-rumah batu dan kawasan tanah runtuh. Maka inilah kisah seekor Unta dan Biawak Dab yang bernama Frankie Fernandez yang tinggal di Zoo Negara, Hulu Kelang, Selangot, sebelah dengan bangunan Finas tak jauh dari rumah Yusuf Haslam.


Biawak Dab : Assalamualaikum wahai jiran tetangga, saya baru tiba di sini apakah nama Saudara Unta?

Unta : Waalaikumsalam, nama saya ialah Ariff Iskandariah, sempena bandar Iskandariah. Apa pula nama kamu?

Biawak Dab : Namaku Francis Felipe Fernandez, salam berkenalan.

Maka pada hari itu bermulalah persahabatan yang terjalin antara Ariff Iskandariah is Unta dan Francis Felipe Fernandez si Biawak Dab.

Pada suatu hari sedang mereka berdua bercengkerama....

Unta : Oh Francis Felipe Fernandez, kamu tahu tak bahwa ramai-ramai manusia di sini aku boleh kenal hati budi mereka dengan sekali pandang sahaja.

Biawak Dab : Oh Hebat kau Ariff Iskandariah, tapi ye memang ramai orang hari ini, cuti umum kot? Apakah maksud kau dengan kenal hati budi manusia?

Unta : Kau lihat ye Francis Felipe Fernandez, lihat pasangan itu, aku tahu dengan yakin bahawa pasangan ini sudah lama berkahwin.

Biawak Dab : Mana kau tahu Ariff Iskandariah?

Unta : Kita kena lihat tanda-tanda sekeliling mereka, aku tahu mereka lama berkahwin kerana ada dua anak kecil mengikuti mereka dan lihat dengan mudah aku boleh tahu kerana si suami berjalan di hadapan dan si isteri tinggal di belakang melayan kerenah anak-anak.

Biawak Dab : Ohh begitu.. Habis bagaimana pasangan yang itu?

Unta : Itu pasangan baru berkahwin, mungkin tak sampai setahun kerana mereka berjalan berpegang tangan senyum-senyum , masih romantis lagi. Lagipun belum ada anak jadi sebabtulah mereka begitu.

Biawak Dab : Ahaa maka pasangan yang berpelukan itu pastilah pasangan yang lagi baru berkahwin betul?

Unta: Betul pasangan muda yang berpelukan ini pasangan yang baru berkahwin, mungkin baru semalam, tapi mereka belum bernikah.

Biawak Dab : Hebat betul kau, mana kau belajar semua ini?

Unta : Dulu di tempat aku lahir di tengah-tengah gurun sahara aku tinggal dengan seorang Alkimia (Alchemist leh tu) yang hebat bernama Al-Qali, banyak aku belajar tentang manusia dan kehidupan ketika kami mengembara di celah-celah padang pasir.

Biawak Dab : Habis tu, bagaimanakah kau ada di sini? Mana tuan kau?

Unta : Dia telah berhijrah ke Eropah untuk buat bateri. Aku dijual untuk bayar tambang kapal terbang. Kau pula berasal dari mana?

Biawak Dab : Ibuku asalnya dari Baghdad dan Ayahku datang dari Mosul.

Unta : Ahhh jadi kau ini anak kelahiran Iraq ya? Banyak cendekiawan dari sana.

Biawak Dab : Tak aku anak kelahiran Zoo Melaka.

Unta : Tak mengapalah, nah kau lihat itu pasangan yang berpura-pura.

Biawak Dab : Berpura-pura? Mengapa?

Unta : Lihat, walaupun berpegang tangan tapi si lelaki yang memakai cermin mata hitam memandang ke arah lain...

Biawak Dab : Ohoooo, bagaimana yang itu pula? Dua orang perempuan itu?

Unta : Itu adalah pasangan rakan karib, yang salah seorangnya baru putus cinta dengan kekasihnya jadi kawan baiknya membawa ke tempat ini untuk menenangkan hati lagi satu itu.

Biawak Dab : Oooh sampai kawan pun kamu tahu. Yang itu pula?

Unta : Pasangan adik beradik, yang perempuan itu lebih tua.

Bawak Dab : Eh bagaimana kau tahu?

Unta : Kerana yang perempuan itu merampas ais krim yang lelaki itu, lagipun lihat yang lelaki itu tengah menangis dan yang sedah marah itu adalah ayah mereka.

Biawak Dab: Ahahaha ya lah, ah bagaimana pula dengan pasangan itu, adakah mereka juga rakan karib.

Unta : Bukan itu adalah pasangan Gay!

Biawak Dab : OMG. Sampai itu pun kau tahu...

Unta : Begitulah lumrah manusia, luaran mungkin nampak lain tapi kalau kita tahu tengok dan perhati betul-betul banyak yang tersembunyi. Lakonan untuk menyamar atau pertunjukan di khalayak ramai.

Biawak Dab : Manusia ni.... Macam-macam ada.


P/S

Selamat hari pekerja... dah cukup dah tu, pergilah kerja.

0 comments: