Semuanya bermula dari sini...
http://lipassepi.blogspot.com/2009/02/sinatraz-why-i-support-learning-math.html
Sesungguhnya ketika saya menulis karangan ini langsung tidak terlintas di fikiran saya mengenai perdebatan isu PPSMI. Pada asalnya karangan ini ditulis adalah sebagai satu cerita pendek yang berunsur jenaka yang mempunyai unsur sindiran dan permainan perkataan. Ianya bermula dari perbincangan antara saya dengan rakan-rakan jurutera ketika kami menghadiri ceramah mengenai "cryptology" di UTM Semarak. Kebetulan kebanyakan dari kami adalah bekas pelajar UTM maka kami pun berjenakalah mengenai kata ganti yang telah diterjemah dari Bahasa Inggeris seperti Sampukan, Selak, Penggetar dan sebagainya. Jadi setelah saya pulang ke rumah berdasarkan dari perbincangan itu maka timbullah ilham untuk menulis. Kebetulan setelah ianya ditulis tunjuk perasaan besar-besaran telah diadakan berhampiran Istana Negara mengenai isu PPSMI dan kalau tidak silap rakan saya RockyBru telah memaparkan penulisan saya ini dalam laman web beliau ketika hangat memperdebatkan isu PPSMI dan tunjuk perasaan di istana negara.
Sejak dari itu, laman blog ini yang biasanya sepi (seperti namanya Lipas Sepi) tiba-tiba dihujani dengan pendapat-pendapat pembaca. Ada yang menyokong dan ada pula yang marah dan yang paling saya berpuas hati apabila ada yang mengatakan mereka gelak ketawa besar.
Namun hari ini saya ingin menjawab beberapa persoalan yang telah ditimbulkan oleh beberapa pembaca mengenai penulisan saya. Memang pada asalnya saya menulis ini adalah untuk riadah semata-mata namun saya pun sebenarnya menyokong dasar PPSMI, jadi dalam penulisan kali ini ianya adalah untuk menerangkan dengan lebih mendalam sambil menjawab persoalan mengapa saya menyokong PPSMI.
Persoalan
1) Mengapa saya seolah-olah menghina terjemahan bahasa sendiri? Adakah begitu hinakah perkataan-perkataan teknologi yang ditulis dalam Bahasa Melayu?Pertama sekali bukan niat saya untuk menghina atau memandang rendah Bahasa Melayu (Atau Bahasa Malaysia) tetapi saya menunjukan bagaimana dalam keadaan tertentu ianya mengelirukan dan terjemahanya tidak sesuai. Bukan saya sengaja memilih perkataan tertentu untuk menggantikan perkataan inggeris, semua contoh yang saya beri memang datang dari buku-buku rujukan BM. Malah kalau anda betul-betul baca penulisan saya itu pada mulanya saya memuji tindakan pensyarah UTM menterjemahkan beberapa perkataan dalam kejuruteraan dengan baik sekali seperti Pemuat, Perintand dan sebagainya. Namun apa yang hendak diketengahkan sini ialah akan sampai satu tahap ianya menjadi agak sukar untuk menterjemahkan berbagai-bagai lagi perkataan kerjuruteraan yang dalam Bahasa Inggeris juga sukar difahami melainkan orang yang pakar dalam bidang berkenaan.
2) Kalau China boleh buat kenapa kita tak boleh buat? Kita Mula dengan contoh China dulu.
China mempunyai 1.3 Billion rakyat, manakala Malaysia mempunyai lebih kurang 20 juta penduduk. Ini bermakna jumlah penduduk China adalah 65 kali ganda dari penduduk Malaysia. Kalau ikut nisbah untuk setiap satu penterjemah yang dihasilkan di Malaysia, China boleh menghasilkan 65 penterjemah. Kalau seorang penterjemah memakan masa 6 bulan untuk menterjemahkan satu buku, maka dalam masa 6 bulan, untuk setiap buku yang diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia terdapat 65 buah buku dan diterjemahkan dalam Bahasa Mandarin.
Sebab itu kalau kita nak ikut contoh China memang lebam.
Kalau Malaysia mampu menghasilkan 100 buah terjemahan Bahasa Malaysia dalam setahun, China menghasilkan 6500 buah buku dalam bahasa mandarin. Akhirnya, budak-budak sekolah Jenis kebangsaan Cina akan juga membaca buku Mandarin kerana rujukanya lebih banyak dan lebih terkini.
3) Bagaimana pula dengan Jepun? Mereka hancur Bahasa Inggeris tapi Maju juga. Kalau hendak diperhatikan, janganlah kita ambil sesuatu contoh itu dengan bulat-bulat. Untuk pengetahuan anda dalam Bahasa Jepun terdapat beberapa jenis tulisan. Satu dipanggil Kanji yakni tulisan simbol berdasarkan tulisan Cina, kemudia Hiragana yang mana tulisan Phonetic yang digunakan untuk membantu orang jepun membaca Kanji dan menulis perkataan-perkataan Jepun. Yang ketiga dipanggil Katakana yakni tulisan phonetic yang digunakan untuk mengeja dan menulis perkataan-perkataan yang tidak wujud dalam tatabahasa Jepun.
Kebanyakan perkataan kejuruteraan, sains dan matematik ditulis dalam katakana seperti kompyutaa (Computer), Erektroniku (Elektronic) atau terebi (Telivision).
Orang Jepun, oleh kerana bahasa dan sebutan sangat susah hendak belajar bahasa Inggeris. Kerana dalam hiragana mereka mempunyai huruf-huruf phonetic yang sangat berbeza dengan abjad romawi. Sebab itu kalau Jepun bercakap bahasa Inggeris selalu mempunyai Uuu atau Iii de hujung perkataan itu contohnya Sank Yuu (Thank You) atau Furaideru (Friday).
Sejak revolusi Pemulihan Meiji, Jepun telah membuka ruang untuk arus pemodenan dan telah banyak menghantar sarjana mereka ke barat untuk belajar ilmu-ilmu dan teknologi baru. Namun oleh kerana tidakan ini memakan belanja yang besar hanya sebilangan kecil sahaja yang dihantar dan apabila mereka pulang ditugaskan untuk menyebarkan ilmu berkenaan di Universiti dan Sekolah. Namun mereka mendapati sangat sukar untuk menterjemah perkataan dan terma baru ini kedalam Bahasa Jepun dan untuk mengajar orang-orang Jepun Berbahasa Inggeris adalah amat tidak praktikal. Jadi Katakana telah diwujudkan dan digunakan untuk mengeja dan menulis perkataan-perkataan luar dan baru ini. Jepun belajar dan menulis dalam Bahasa Jepun adalah kerana mereka susah untuk mempelajari Bahasa Inggeris, jadi dari belajar bahasa baru terus yang susah, mereka ubah sistem tulisan mereka.
Kita pula, oleh kerana sistem tulisan yang hampir serupa dan Bahasa Melayu yang berdasarkan Phonetic yang cukup baik amat mudah bagi orang kita untuk memahami dan mempelajari Bahasa Ingeris dengan cepat. Jadi mengapa kita hendak ikut jalan yang susah.
Lagipun Jepun telah memulakan arus pemodenan sejak tahun 1869, ketika itu arus teknologi dan perkembangan Ilmu tidak sepantas hari ini sebab itu mereka boleh mengejar arus teknologi.
Zaman sekarang, telefon bimbit kita beli hari ini, tahun depan sudah teknologi lama. Waktu itu Telegraph dipakai hampir 100 tahun sebelum diganti. Kemudian kita merdeka tahun 1957 dan arus pemodenan kita bermula pada tahun awal 1980 an, maknanya mereka telah mula awal 100 tahun.
4)
Dengan PPSMI maka akan terhakis ketamadunan Melayu.Ketamadunan dan perkembangan budaya bukan semata-mata bergantung kepada penggunaan bahasa sahaja. Ia memang saya mengakui ianya akan mempunyai kesan namun sejarah telah membuktikan bahawa terdapat faktor-faktor lain yang lebih utama. Ketamadunan suatu bangsa itu banyak bergantung kepada kemajuan, kuasa dan pengaruh sesuatu tamadun itu. Sebagai contoh, negara yang jauh lebih maju akan lebih mudah mengembangkan pengaruh budaya, bahasa dan pemikiran berbanding negara yang tidak maju. Sebab itu kita tengok hampir setiap rakyat Malaysia tahu apa itu burger, Michael Jackson dan Hip-Hop tapi lihat berapa kerat orang Amerika yang tahu tentang SM Salim, Nasi Lemak dan joget.
Kalau sekadar menggunakan bahasa melayu, berpantun setiap hari, bersyair tiap minggu itu tidak cukup untuk memastikan nasib bangsa dan adat resam di masa hadapan. Sesungguhnya apabila sesuatu bangsa itu lemah, dangkal dan tidak berpengaruh maka secara perlahan bahasanya juga akan mati, seperti Sanskrit, Jawa Kuno dan banyak lagi.
Sebagai mana sarjana Barat suatu ketika dahulu sanggup mempelajari Bahasa Arab dan Latin untuk memahami ilmu-ilmu baru maka sebagaimana itulah kita perlu menguasai bahasa Inggeris. Pada awalnya memang banyak ilmu-ilmu ditulis dalam Latin dan Arab namun apabila bangsa Eropah Maju mereka sudah mula menerbitkan penulisan mereka dalam bahasa Inggeris, Jerman, Perancis dan sebagainya.
Jadi kalau hendak memartabatkan lagi bangsa dan memastikan perkembangan budaya kita maka perlulah kita memperkasakan dulu bangsa dan rakyat kita (rakyat Malaysia yang budaya bertulang belakangkan Kebudayaan Melayu Islam). Tak guna kalau kita fasih bersyair, cekap berpantun tapi menumpang di negara sendiri. Tak Begitu?
5) Kalau kita boleh membelanjakan banyak wang untuk PPSMI mengapa tidak menggunakan wang itu untuk terjemahan. Masaalah Terjemahan dalam bidang teknolog ini ialah ianya tidak boleh dilakukan oleh sesiapa yang fasih dalam Bahasa Inggeris sahaja. Terjemahan perlu dilakukan oleh orang yang pada masa sama pakar dalam bidang berkenaan. A Samad Said yang pastinya hebat dalam Bahasa Melayu dan Fasih dalam Bahasa Inggeris tidak boleh dan mampu untuk menterjemahkan buku-buku rujukan Elektronik kerana dia bukan pakar Elektronik. Masaalah di negara kita ialah Pakar-Pakar dalam bidang-bidang ini adalah amat terhad.
Sebagai contoh dalam Kejuruteraan Elektronik terdapat suatu bidang dipanggil Microelectronic & Semiconductor Technology atau dalam BM Mikroelektronik dan Teknologi Bahan Separa Pengalir. UTM merupakan peneraju dalam bidang ini di Malaysia dan ketika saya belajar di sana (3 tahun lepas) hanya seorang Pensyarah sahaja yang boleh dipanggil pakar dalam bidang ini. Dan Pensyarah inilah pada masa yang sama hendak menyelia pelajar sarjana (masters), mengajar pelajar Sarjana Muda (Degree) dan Memeriksa penulisan Kedoktoran, membuat ujikaji, penyelidikan dan pelbagai lagi. Yang saya dengar kini mereka sudah mempunyai 2 atau 3 Pakar dalam bidang berkenaan yang menjadi pensyarah.
Masaalahnya bukan satu sahaja buku rujukan dalam bidang berkenaan. Kalau nak jadi pakar kurang-kurang kena baca 10 ke 15 buku.
Ini bukan masaalah wang, ini masaalah tenaga kerja. Lagi satu Contoh, Buku Terjemahan Electronic Boylestad dalam BM baru Edisi ke 7, Dalam BI sudah edisi ke 10. Dan edisi ini berubah setiap tahun.
6) Sukar guru-guru hendak mengajar dalam Bahasa Inggeris.Guru sekarang sudah mempunyai Ijazah Sarjana Muda, apatah lagi ramai dari program guru lepasan Ijazah bidang lain. Guru kini adalah suatu pekerjaan yang menuju ke tahap professional seperti Jurutera, doktor dan Peguam.
Kalau setakat nak mengajar dalam Bahasa Inggeris pun sudah banyak songeh, maka tak layak digelar professional. Lagipun sejak baru-baru ini gaji guru dinaikkan dan banyak manafaat diberikan, kalau dah bayar dengan gaji professional maka secara professional perlulah guru berkenaan berkerja setara dengan taraf beliau. Dah bayar gaji elok, manafaat bagus, kerahkanlah kerja mereka. Kalau tak mampu jangan jadi guru, tukar bidang lain.
Habis. Kalau Malas sangat, ralat sangat, nah pergi ajar PJK ke Sejarah ke tak pun BM terus. Senang.
7) Bagaimana pula dengan Pelajar Luar bandar?Ini suatu persoalan menarik yang mengatakan pelajar luar bandar sukar menerima pengajaran dalam BI. Cuba bayangkan kalau masa sekolah sudah sukar mempelajari dalam BI apatah bila masuk Universiti yang rata-rata buku rujukan semua dalam bahasa inggeris sepenuhnya!!
Banyak saya lihat pelajar luar bandar yang pandai-pandai belaka sukar mendapat pekerjaan baik kerana penguasaan bahasa inggeris dan sukar untuk mereka menulis laporan, memahami buku rujukan kerana tidak biasa dengan mentelaah dalam bahasa inggeris.
Ketika saya belajar dahulu, salah satu pendapatan sampingan saya ialah menterjemah penulisan/laporan BI ke BM atau menyemak kesalahan tatabahasa dan ejaan dalam penulisan laporan pelajar-pelajar ini.
Kebanyakan teknologi yang hebat berada di syarikat besar luar negara seperti Intel, AMD, SONY dan sebagainya. Mereka takkan ambik pekerja yang BI tunggang-langgang.
Kesimpulan...
Beginilah,
apa kata kita serahkan keputusan untuk meneruskan PPSMI kepada mereka yang menerima kesan dari dasar ini iaitu pelajar-pelajar sekolah sendiri. Kita teruskan dengan buku teks dwi bahasa (yang tak susah nak buat di peringkat sekolah) dan juga kertas soalan peperiksaan dwi bahasa.
Kalau lebih ramai memilih BI dan mempunyai keputusan lebih baik kita teruskan PPSMI kalau mereka pilih BM maka kita mansuhkan PPSMI. Ini kita ni yang langsung tiada kena mengena pulak berlebih-lebih tunjuk perasaan bagai nak rak konon macam kita yang belajar ikut PPSMI.
Masaalah saya ialah,
pelopor utama yang membantah PPSMI ialah mereka yang kebanyakan dari aliran Sastera dan bukan sains. Itu yang membuatkan saya rasa tak berapa senang.
Maka secara tuntasnya,
kadang-kadang kita perlu lebih bersikap pragmatik dari terlalu mementingkan budaya dan adat resam. Bukan saya seorang yang tidak suka atau membenci bahasa ibunda saya sendiri. Percayalah saya sangat sayang dengan Bahasa Ibunda saya dan saya cukup pantang untuk merojakkan bahasa ini sebagaimana penyanyi dan pelakon yang ditemubual dalam melodi.
Akan tetapi, kita juga perlu memikirkan tentang kelangsungan ketamadunan bangsa itu sendiri. Seperti telah saya katakan sebelum ini, tak guna kita pandai bersyair, berpantun dan bergurindam kalau bangsa kita masih menumpang, dangkal dan tidak maju.
Memang ada pepatah melayu mengatakan
Biar Mati anak Jangan Mati adat.
Tapi....
Kalau anak dah mati, siapa hendak meneruskan adat.
Tak Begitu?
P/S -
Saya lihat banyak sesi perbincangan (forum) diadakan sempena PPSMI ini tai kebanyakanya adalah dari satu pihak sahaja. Minda kita tidak akan berkembang kalau kita hanya berdebat dan berbincang sebelah pihak sahaja. Nah kalau tidak puas hati atau hendak berbincang, debat atau bertukar pandangan dalam suatu perbahasan atau sesi perbincangan umum anda boleh menghantar email kepada saya di zaidel49@gmail.com
Kalau ada masa dan rezeki,
mana tahu saya boleh sama-sama hadir dan berbincang sekali. Bak kata orang nak dengar sendiri dari mulut tuan punya.