Sinatra_Z - Abang.... Abang.... Abang.....

Cerita yang mungkin atau tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati mahupun yang bakal mati. Lantak korangla...

Perkahwinan itu adalah satu perjanjian antara dua insan yang telah bersetuju untuk bersama ketika mana senang, ketika mana susah dan ketika mana kebosanan mahupun kegembiraan. Walaupun sering orang mengatakan bahawa hidup itu pendek, akan tetapi ianya adalah terlalu sunyi untuk melaluinya secara berseorangan. Memanglah, ada sesetengah itu menganggap perkahwinan itu adalah ikatan cinta, apabila pasangan lelaki dan perempuan itu berkongsi lebih daripada haba badan sewaktu tiba di malam yang sejuk. Segala rahsia, rasa sangsi, keputusan malah harta juga dikongsi bersama.


Zah menganggap bahawa pasangan hidup itu selain dari tempat berkongsi segala macam duka dan gembira, juga merupakan saksi kepada kehidupan kita sendiri. Sesungguhnya manusia itu memerlukan seorang insan bagi menjadi bukti akan perjalanan hidupnya. Mungkin bunyinya seperti tidak masuk akal akan tetapi itulah pendapat peribadi Zah.


Namun kalau sekadar dua manusia yang duduk bersama berhari-hari pastinya tidak akan tahan, sebab itu anak-anak merupakan suatu kurniaan, kehidupan kita yang pada mulanya berpusat antara dua insan kini tertumpu sepenuhnya kepada cahaya mata. Maka kehangatan darah muda mula pudar dan berubah menjadi lain, kebahagiaan rumahtangga bertukar menjadi kebahagiaan keluarga, walaupun tidak sehangat api perkahwinan namun membawa keselesaan jangka panjang, kegembiraan yang kecil tetapi bertahan lama. Keseronokan mendengar anak perempuan kita jatuh cuba berjalan boleh membuatkan Zah senyum simpul sepanjang minggu.


Namun kita tidaklah ibarat merpati dua sejoli yang biasa, memanglah kalau nak diikutkan Zah adalah jauh lebih bahagia kalau diibarat mana-mana pasangan suami isteri yang lain. Abang pulang dari pejabat lepas jam 5 petang, mengambil Zah dari Klinik, Zah masak kari ikan pada malam isnin, asam pedas pada hari Selasa, ambil anak dari kelas fardhu ain dan bawa anak-anak ke Zoo negara pada hujung minggu. Sekali-sekala bersama dengan masyarakat melalui PIBG dan abang pada hari ahad main golf dengan kawan-kawan sekolah.


Tapi kalau abang orang biasa masakan Zah akan tertarik abang, masakan abang orang biasa akan Zah akan lari melawan cakap ayah bonda, masakan abang orang biasa akan kita bersama. Dari mula Zah melihat dan jatuh cinta pada abang, yang boleh mengatur dan menggerakan hati, minda ribuan anak-anak muda maka tergerak jugalah hati Zah. Memang indah dan bahagia menjadi biasa akan tetapi kadangkala dalam sesuatu perjalanan hidup akan sampai detik apabila orang biasa macam Zah ini akan menjadi saksi kepada lipatan sejarah. Memang sejak dari sekolah Zah bercita-cita tidak lebih dari menjadi seorang doktor, tak kisahlah pakar bedah atau doktor klinik kerajaan kampung sekalipun janji berkhidmat kepada masyarakat. Tapi Zah harus berkorban, kerana Zah sedari apalah sangat bakti kecil cita-cita perbadi ini kepada masyarakat berbanding dengan abang yang membawa arus perubaham, arus perjuangan, arus penerusan kepada ummah.


Memang, orang-orang yang beriman akan sering diuji oleh tuhan akan keutuhan hati mereka. Zah tahu abang dan Zah sentiasa faham akan sukarnya perjalanan seorang pejuang itu. Kini perjuangan itu bukanlah perjuangan abang, akan tetapi perjuangan Zah juga, perjuangan anak-anak kita dan juga perjuangan semua rakyat. Biarlah kita dizalimi kerana Zah yakin bahawa apa yang kita tempuhi ini adalah jauh lebih besar dari Zah, dari abang dan dari anak-anak kita. Memanglah mereka tidak dapat membesar sebagaimana anak-anak yang lain akan tetapi tidak seperti anak-anak lain mereka sudah kenal akan erti perjuangan dan erti hidup untuk sesuatu yang lebih besar, anak-anak kita belajar jadi mujahid. Biarlah anak-anak orang lain, macam anak-anak bekas kawan abang, belajar di luar negara hasil dari kekayaan ayah mereka yang merompak hasil rakyat. Biarlah mereka rasa pengalaman duduk di negara berdingin untuk segenap masa dan pulang dengan berbahasa loghat asing dengan pandangan dunia ala-ala cendekiawan berkulit cerah. Lantaklah dengan anak-anak bangsawan itu, abang tidak seperti mereka, anak-anak kita tidak akan menjadi seperti itu, anak-anak kita akan belajar pengorbanan, perjuangan dan bukan merompak hasil keringat rakyat marhaen tetapi bersama berpeluh, perhempas-pulas dan membanting tulang demi perjuangan yang hakiki, demi masadepan bersama yang lebih cerah.


Memang dulu masa Zah muda, perjuangan ini perjuangan abang, tetapi sekarang ianya lebih bersar dari itu, sesungguhnya perjuangan itu adalah lebih tinggi dari Zah dan Abang malah anak-anak kita sekalipun. Memang Zah sedar abang tidak sempurna, masakan lelaki mana yang sempurna, akan tetapi lelaki yang tidak sempurna inilah yang Zah percaya, Zah sungguh-sungguh percaya akan membawa obor perjuangan kita ini. Tapi abang lemah, sangat lemah, asyik berdampingan mereka yang merosakkan, mereka yang menikam belakang dan mereka yang sering membawa abang ke jalan yang salah. Sumpah Zah tidak membenci bekas ayahnda abang, biarlah dia menzalimi kita berdua tapi bukan dia yang menjatuhkan abang, kawan-kawan abang disekeliling itu yang menjatuhkan abang. Dia tidak yakin dengan abang tapi sesungguhnya Zah lebih mengetahui bahawasanya abang perlu meneruskan kerana walaupun abang lemah, abang tidak sesempurnya yang dia harapkan, namun perjuangan abang itu masih mulia, jauh lebih mulia dari perasaan dan cita-citanya.


Tapi masa itu memberi kesan, abang sekarang sudah lemah, terlalu lemah, tak tahulah Zah mungkin kerana terlalu kuat godaan ataupun kerana telah pernat berkorban sekian lama. Memanglah Zah marah abang buat perkara itu, memanglah Zah tersangat kecewa kerana perlu menghadapi mereka lagi, menidakkan, menentang dan mempertahankan abang dan pada masa sama menyorokkan hati yang telah robek lagi terguris ini. Namun kekecewaan Zah bukanlah kerana itu semua, itu semua boleh Zah telan, kunyah dan hadam dalam perut yang dah lali dengan kepahitan perjuangan ini, apa yang Zah kecewa ialah abang tumbang dalam perjuangan ini, abang tidak larat lagi untuk membawa obor kepimpinan ini yang telah sekian lama abang bawa dan kemudi dan abang telah mengkhianati perjuangan kita ini dengan kesilapan abang itu, sengaja ataupun tidak.


Abang, walaupun abang banyak berdosa pada Zah, Zah maafkan abang, memang Zah banyak kecewa dengan abang namun selama ini memang Zah percaya bahawa abang adalah orangnya yang akan memimpin kita semua, khalifah zaman baru ini. Akan tetapi mata dan hati Zah sudah terbuka, tidak sanggup lagi menipu diri dan menipu perjuangan ini, Zah terpaksa akur pada hati dan minda Zah bahawasanya abang bukan orangnya, suatu ketika dulu abang mungkin namun bukan abang pada hari ini. Zah harap abang maafkan Zah kerana lakukan benda ini, abang maafkanlah Zah kerana Zah juga banyak berdosa pada abang, tapi percayalah sesungguhnya Zah buat ini adalah kerana tidak sanggup melihat perjuangan yang kita tegakkan selama ini tumbang dan roboh begitu saja. Sesungguhnya dalam perjuangan itu memerlukan pengorbanan dan ini adalah pengorbanan Zah yang paling besar, mengorbankan seseorang yang amat Zah cintai.


Abang.... Abang..... Abang...


Abang jangan marah ya, jangan risau abang takkan rasa sakit, Zah kan doktor dulu jadi Zah tahu, Dr Hector dan janji pada Zah bahawa abang tidak akan rasa siksa, abang akan pergi dalam tidur nanti. Zah akan kata abang sakit jantung, biarlah kebencian, serangan dan sorakan mereka itu terpadam. Biarlah semua melihat abang tumbang dalam perjuangan, abang akan jadi mujahid, syahid demi perjuangan. Abang dah penat sangat dah ni, sebab itu banyak sangat tersilap, biarlah perjuangan ini Zah dan anak-anak ambil alih, abang rehatlah, sesungguhnya setakat ini sahaja abang akan pergi. Zah tahu abang cuba sedaya upaya namun apakan daya, manusia tidak lari dari kelemahan.


Selamat tinggal abang, salam perjuangan dan moga-moga abang maafkan Zah, Zah janji akan zah kekalkan kasih kita sehingga ke akhir hayat nanti dan akan zah akan sedekahkan doa buat bekalan abang selagi hayat masih dikandung badan. Biarlah kita berkongsi cinta bukan sekadar antara dua insan, akan tetapi cinta demi perjuangan dan sesuatu yang jauh lebih hakiki. Nanti kalau ada rezeki, mungkin Zah juga akan bertemu dengan abang tidak lama dari sekarang, namun itu semua bergantung kepada ketentuan ilahi dan semoga apabila tiba pada hari itu nanti, Zah akan membawa berita gembira kejayaan perjuangan yang selama ini abang bina dari batu asasnya.


Abang pergi dulu ya, nanti Zah akan ketemu abang.


Maafkan Zah ye Abang..... Zah betul-betul terpaksa, harap abang faham.


Selamat tinggal......


Assalamualaikum........



0 comments: