Sinatra_Z - Beg Plastik dan Hamper

Tempoh hari saya ada hadiri satu majlis yang mana Ketua Penerangan Pemuda MCA, Dr. Kow Chong Wei adalah salah satu tetamu jemputan. Dalam ucapannya, Dr Kow ada menceritakan satu cerita,

Kisahnya Begini -

Tuan-tuan sekelian,
tempoh hari pada Mac 2008 pengundi ketika dalam perjalanan untuk mengundi membawa satu beg plastik di dalam tangan, di dalam beg plastik itu terdapatnya garam, gula, beras dan minyak masak.

Dalam perjalanan mereka terserempak dengan seseorang yang bernama Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim menawarkan mereka sebuah hamper.

Hamper itu besar, cantik, ada reben ada bunga dan dalamnya ada macam-macam benda seperti coklat, air sedap, gula-gula, manisan, biskut dan pelbagai lagi benda-benda yang enak.

Pengundi ini sudah pasti mahukan hamper itu, oleh kerana tangan mereka yang terhad untuk bawa barang maka diletakkan dan ditinggalkan beg plastik itu ditepi jalan dan dibawa pulang hamper itu.

Keesokan harinya, setelah dibuka hamper itu bersama keluarga dan anak-anak mereka dapati yang rupa-rupanya coklat itu sudah luput tarikhnya, biskut itu rupanya masuk angin, gula-gula itu kelat rasanya dan macam-macam lagi.

Maka barulah ketika itu mereka teringat akan beg plastik itu, barulah mereka sedar yang gula-gula walaupun sedap rasanya untuk seketika tapi tidak boleh menggantikan beras, minyak, gula dan garam.

Bila masa nanti mereka sedar yang walaupun beg plastik itu tidak mempunyai reben, tidak bersinar, cantik atau berkilat namun dalamnya ada benda-benda yang sebenarnya sangat berharga.

Dan pada ketika itulah, mereka akan kembali kepada tempat yang sama, di tepi jalan yang sama dan akan mengutip kembali beg plastik yang ditinggalkan itu.

Jadi biarlah kita mengikut resam beg plastik itu, memang nampak tidak menarik, tidak meriah tetapi sebenarnya apa yang kita bawa sangatlah berharga dan nescaya, percayalah, pengundi akan kembali kepada kita.

Dr. Kow Chong Wei

0 comments: