Sinatra_Z - Hobi Saya

Nama : Zaidel Baharuddin
Kelas : 3 Kenanga

Seperti kebanyakan Rakyat Malaysia saya juga mempunyai hobi. Pasti sebahagian anda ada bertanya apakah itu hobi? Hobi adalah kegiatan masa lapang yang kita buat serta kita merasa gembira membuatnya. Membuang air besar bukanlah suatu hobi walaupun kita melakukannya pada masa lapang dan kita merasa gembira setelah selesai membuatnya. Contoh-contoh hobi adalah seperti mengumpul setem, melukis gambar pemandangan,berkaraoke, bermain golf dan sebagainya.

Di Malaysia terdapat banyak persatuan-persatuan hobi menarik yang anda boleh sertai sekiranya anda berasa bosan di hujung minggu. Namun adalah dinasihatkan anda menyertai kegiatan hobi yang sihat seperti yang telah dinyatakan diatas dan tidak terjebak dalam hobi yang boleh merosakkan akhlak dan kesihatan. Contoh Hobi yang boleh merosakkan akhlak dan kesihatan anda adalah seperti menghisap dadah, menghisap gam, menghisap rokok dan menghisap benda-benda di luar tabii.

Oleh itu pasti anda bertanya bukan, apakah hobi anda Encik Zaidel? Apakah yang saya lakukan pada hujung minggu. Terdapat banyak perkara yang saya buat pada masa lapang saya, oleh itu boleh dikatakan saya adalah seorang yang mempunyai hobi yang muhibbah. Di sini akan saya nyatakan sebahagian dari hobi saya.

Hobi 1 - Borak-borak Ketuk Meja.

Hobi saya yang pertama ialah melepak di kedai minum bersama rakan-rakan yang tiada kehidupan sambil berborak-boran dan ketuk meja. Topik perbincangan boleh berubah dari masa ke semasa bergantung kepada cuaca pada hari berkenaan. Biasanya aktiviti ini dilakukan di waktu malam kerana waktu malam ianya sejuk dan berangin oleh itu lebih meriah untuk kita ketuk meja. Dalam menjalankan aktiviti ini saya ada menyertai tiga persatuan yang berkait rapat dengan hobi ini iaitu yang pertama Persatuan Jejaka Berketerampilan Taman Permata yang sering mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali seminggui, Persatuan Kokkers Melawati dan tak lupa juga Kelab Minum Bersama Gadis-gadis. Namun persatuan yang ketiga itu mempunyai masaalah tidak cukup keahlian.

Hobi 2 - Menulis dan memberi komen pada status Facebook.

Hobi saya yang kedua ialah menulis dan memberi komen pada status facebook kawan-kawan saya. Saya cukup suka kalau status facebook kawan saya yang taksub dengan politik rakyat dan mengutuk supaya mereka menjadi marah dan penuh perasaan. Tak lupa juga merosakkan luahan hati dan jiwa kawan-kawan yang ingin meluahkan perasaan di status facebook dengan ayat-ayat hampagas dan merosakkan suana. Namun kalau anda mahu terlibat dalam hobi ini bersedialah untuk dimaki dan dikritik hebat terutama oleh individu yang penuh perasaan jiwa dan raga.

Hobi 3 - Menangkap Gambar

Kalau anda perasan yang saya baru-baru ini banyak meletakkan gambar dalam facebook kerana baru-baru ini saya membeli sebuah kamera. Menangkap gambar memang seronok namun kawan-kawan mungkin sakit hati sekiranya anda tak reti nak letak kamera dan membawa ia kemana-mana termasuk tandas. Selain dari menangkap gambar pemandangan saya juga suka mengambil gambar gadis desa, ah moi pekan, ibu muda, janda baik, wanita matang, perempuan berketerampilan dan sebagainya. OMG! Malangnya tidak ramai yang sudi menjadi sukarelawan.

Hobi 4 - Menulis cerita-cerita rakyat

Pada masa lapang juga saya suka menulis cerita-cerita rakyat yang tak semestinya memberikan tauladan atau pengajaran. Selain dari cerita-cerita rakyat saya juga suka menulis tentang isu-isu semasa, mengkritik orang yang tidak dikenali dan kisah-kisah kehidupan yang menimbulkan syak wasangka. Ada saya cuba menulis sajak namun ianya tidak berapa menjadi kerana saya sering menulis sajak mengenai perkara yang agak mengelirukan pihak musuh seperti sajak mengenai bulu kaki saya.
Ada pernah saya cuba menceburkan dalam hobi penulisan surat cinta tapi saya lupa yang saya kena bercinta dulu.


Maka secara tuntasnya, itulah dia antara hobi-hobi yang saya ceburi. Saya berharap anda mendapat manafaat dari karangan ini dan moga-moga anda juga mempunyai hobi yang menarik. Oleh itu marilah kita bersama-sama menceburi dalam hobi dan aktiviti masa lapang yang menyihatkan demi memajukan negara dan mencapai cita-cita 1 Malaysia dan Wawasan 2020. Janganlah kita melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti menipu/mengencing orang ramai yang kita akan menjadi perdana menteri pada 16 September. Sekian.

Majulah Hobi Untuk Negara, Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

P/S - Tahukan anda warna kegemaran saya ialah biru gelap.

0 comments: