Sinatra_Z - Hudud dan PAS

Saya jarang sekali suka bercakap atau berbicara mengenai Khairy Jamaluddin kerana saya lebih suka sekiranya ketua pemuda Malaysia dipegang oleh Datuk Seri Khir Toyo atau Datuk Mukhriz Mahathir. Namun perlu saya ucapkan tahniah kepada Saudara Khairy Jamaluddin kerana berani berdepan dengan Datuk Husam Musa di kubu kuat PAS sendiri dan memberikan hujahan balas yang begitu baik sehingga mengejutkan ramai pihak. Saya sendiri tidak melihat perdebatan berkenaan dan ianya belum diletakkan di dalam YouTube. Namun setelah membaca beberapa laporan dari dua sumber

KLPOS - Sayuti Omar
Sejarah Melayu Blog

dan klip ini cukup menarik perhatian saya...

Hukum Hudud dan Qisas pada September 16

Ini merupakan soalan Cepumas yang benar-benar tajam daripada Saudara Khairy Jamaluddin. Khairy Jamaluddin mempersoalkan adakah PAS akan menjalankan hukum Hudud dan Qisas sekiranya pelan September 16 tempoh hari berjaya dilaksanakan (peralihan kuasa) dan Husam menyebut "Kita akan buat" dan mencabar Khairy Jamaluddin mengapa tidak memperjuangkan Hudud di dalam Mesyuarat Agung UMNO sedangkan mereka juga sesama islam.

"Mengapa hukum hudud mesti menjadi agenda PAS sahaja" Husam mempersoalkan.

Kedua-dua kenyataan Husam ini menimbulkan pertanyaan kepada diri saya sendiri. Pertamanya hukum hudud adalah merupakan salah satu perbezaan utama antara United Malays National Organization dan Parti Islam Semalaysia seperti yang telah dijawab oleh KJ (nama pendek) kemudian dalam klip video berkenaan dasar kerajaan Barisan Nasional ialah untuk meneruskan sistem undang-undang yang sedia ada. Malah sebab utama PAS itu sendiri ditubuhkan adalah kerana UMNO tidak mahu memperjuangkan penggunaan sistem Hudud di negara ini.

Sekiranya UMNO memperjuangkan hudud maka terus terang saya mengatakan bahawa secara dasarnya perbezaan antara PAS dan UMNO mungkin sudah tiada lagi. Sejak zaman Tunku Abdul Rahman memang Hudud tidak menjadi agenda UMNO kerana parti ini beranggapan bahawa perlaksanaan hukum hudud bukan merupakan syarat atau paksi utama dalam memperjuangkan kerajaan Islam di Tanah Melayu dahulu dan Malaysia sekarang. Pendapat UMNO bahawa hudud itu bukanlah penentu seseorang itu kafir atau kerajaan sekular bukan islam sekiranya Hudud tidak dilaksanakan terutama dalam suasana masyarakat di Malaysia.

Pembaca mungkin tidak bersetuju dengan pendapat berkenaan dan itu tiada salahnya. Namun itu bukan isu di sini kerana sekiranya seseorang itu berpegang kepada prinsip tanpa Hudud maka bukan kerajaan Islam maka mereka tidak akan menyokong UMNO dan atas sebab itulah PAS itu wujud.

Maka persoalan utama di sini PAS, yakni perjuangan utama mereka iaitu kerajaan Islam dan dari definisi kerajaan islam ialah perlaksanakan hukum-hukum islam terutama Hudud dan Qisas maka agenda utama mereka memang adalah Hudud dan Qisas. Mempersoalkan mengapa ianya hanya mesti menjadi agenda PAS sahaja merupakan tidak berapa bijak kerana kalau UMNO dari dahulu dan sekarang memperjuangkan Hudud maka PAS mungkin tidak akan ditubuhkan dan tidak perlu wujud lagi. Perbezaan utama antara PAS dan UMNO dalah itu, memang pasti ada yang mengatakan PAS memperjuangkan Islam UMNO juga berkata begitu namun PAS mahukan hudud dilaksanakan manakala UMNO tidak bercadang untuk berbuat demikian. Itu yang membuatkan ahli PAS mengatakan mereka yang sebenarnya memperjuangkan Kerajaan Islam.

Maka komitmen Husam mengenai "Kita akan buat" hukum hudud sekiranya september 16 jadi adalah satu pernyataan yang betul dan selaras dengan perjuangan PAS itu sendiri. Namun timbul satu soalan cepumas yang utama seperti yang dipersoalkan Khairy Jamaluddin...

Sekiranya September 16 jadi adakah benar hukum hudud akan dilaksanakan?

Ini persoalan penting kerana inilah perjuangan Utama PAS sejak tahun 90 an lagi. Kita perlu ingat Datuk Husam menyokong dan yakin pada suatu masa yang tidak berapa lama dahulu mengenai janji kononya akan bertukar kerajaan pada tarikh keramat september 16 dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri. Apabila husam menjawab "Kita akan buat" timbul persoalan apakah yang dimaksudkan dengan "kita" itu? Kita adakah bererti Pakatan Rakyat ataupun ahli-ahli PAS sahaja. Perlu diingatkan bahawa Anwar Ibrahim merupakan Ahli Parti Keadilan Rakyat dan bukanya Parti Islam Semalaysia dan tidak ada dalam manifesto mahupun perjuangan PKR ada mengatakan tentang negara islam mahupun Hudud. Jadi apabila dimaksudkan "Kita akan buat" bagaimana kita hendak buat kalau kita itu tidak termasuk Perdana Menteri yang baru ini.

Mungkin ada yang mempersoalkan bahawa PM baru yakni Anwar Ibrahim akan memperjuangkan seperti mana yang dicakap oleh Husam namun saya tidak yakin terutama apabila tidak langsung ada kenyataan mengenai ini dari mulut Anwar Ibrahim sendiri malah perkara yang sebaliknya adalah....

Kenyataan Anwar Ibrahim tentang Islamic State
"Saya tidak menyokong apa-apa tuntutan Islamic State.."

Apakah itu Islamic State? Islamic State ialah negara yang mengamalkan sistem islam sepenuhnya manakala Islamic Nation ialah negara yang mana agama rasminya adalah Islam atau majoriti penduduknya adalah beragama Islam. Contoh yang baik ialah Afghanistan suatu ketika dahulu adalah islamic State manakala Pakistan merupakan Islamic Nation. Status Quo kini adalah "Islamic Nation" dan boleh saya membuat kesimpulan berdasarkan kenyataan Anwar Ibrahim ianya bercanggah dengan perjuangan PAS.

Timbul pula persoalan sekiranya september 16 menjadi dan PAS tetap akan melaksanakan Hukum Hudud di tempat mereka mempunyai kuasa atau menjalankan hudud itu secara sendiri timbul satu lagi persoalan. Jika hanya PAS sahaja yang akan menjalankan Hudud tanpa Pakatan Rakyat maka tidak perlulah berlakunya September 16. Kini PAS mempunyai tiga Menteri Besar di tiga buah negeri dan perlaksanaan undang-undang islam adalah mengikut Jabatan Agama Islam negeri masing-masing. PAS kini bolehlah mengemukakan undang-undang berkenaan tanpa perlu 6 September. Sekiranya mereka benar-benar mahu melaksanakanya mereka bolehlah memulakan Hudud di Kelantan dan Kedah yang mana kedudukan MB mereka agak kukuh tanpa perlu sokongan DAP.

Ada yang mungkin mengatakan bahawa sekiranya PAS mahu berbuat demikian akan mengundang bantahan keras dari Kerajaan Pusat yang dikuasai BN. Memang benar tapi pendapat saya itu bukan sebab utama yang menjadi penghalang. Ini kerana sejak kemengangan pilihanraya tempoh hari PAS langsung tidak memperkenalkan apa-apa inisiatif mahupun dasar yang hendak memperkenalkan hudud di mana-mana negeri yang mempunyai menteri besar dari PAS. Sekiranya mereka benar-benar mahu menjalankan Hudud mengapa perlu takut dengan BN? Adakah mereka lebih risau tentang bantahan dari kerajaan pusat atau bantahan dari Pakatan Rakyat sendiri? Anda buatlah kesimpulan sendiri.

Ingin saya akhiri dengan persoalan ini untuk pemikiran saudara pembaca sekelian...

Husam mempersoalkan.. "Mengapa hukum hudud perlu menjadi agenda PAS sahaja, mengapa tidak bawa dalam perhimpunan agung UMNO.." Persoalan beliau itu ada kebenaranya. Namun soalan yang sama juga harus ditujukan kepada Parti Keadilan Rakyat malah soalan ini lebih penting untuk dijawab oleh PKR berbanding dari UMNO kerana PAS merupakan ahli Pakatan Rakyat! Dan telah bersetuju bahawa sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Perdana Menteri akan datangnya dari Pakatan Rakyat.....

Bak kata Nabil "Lu fikir la Sendiri..........."

2 comments:

huh aku pun pening bila memikirkan perkara ni.....yg mana pada aku akhirnya MERUGIKAN UMAT MELAYU ISLAM di M'sia......kita bertelagah pada perkara perkara sedemikian...hanya kerana berbeza pendapat,kita menyatakan "arghhh aku lebih Islam dari ko" mahupun menyatakan "Ko nye Islam tak sempurna sebab ko tolak....." sedey aku En Lipas.....as a muslim....yg lidahnya mengucap dua kalimah syahada,yg mengakui Muhammad itu Rasul Allah......sepatutnya kita bersatu....

huh penat dah aku zaidel ...penat....